GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menggunakan 99 buah lori tangki air, untuk menghantar bekalan air kepada pengguna yang terjejas berikutan gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Jan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K.Pathmanathan berkata, ini merupakan kumpulan lori tangki air terbesar digunakan dalam sejarah bekalan air Pulau Pinang, termasuk 27 tangki jumbo yang disewa dan boleh menyimpan sehingga 40,000 liter air terawat.

“Selain daripada kumpulan lori tangki, PBAPP juga sedang memasang sejumlah 97 tangki air statik untuk menyimpan air untuk diambil oleh pengguna terjejas. Tangki air ini termasuk tangki fleksi gajah yang disewa dengan kapasiti maksimum 24,000 liter setiap tangki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 19 unit tangki fleksi gajah itu, akan ditempatkan di Balik Pulau, Batu Maung, Batu Uban, Bukit Tengah, Bayan Lepas, Jawi, Pantai Jerejak, Paya Terubong, Pulau Betong dan Sungai Acheh.

“Sebanyak 78 lagi tangki statik biasa berkapasiti 2,500 liter, akan ditempatkan di semua kawasan terjejas,” katanya.

Pathmanathan berkata, semua tangki statik yang disediakan oleh wakil rakyat akan diisi secara berkala oleh kumpulan lori tangki.

Beliau berkata PBAPP merancang untuk membekalkan kira-kira 1.85 juta liter air terawat, sepanjang tempoh gangguan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik yang ditempatkan di kawasan terlibat.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula jam 6 pagi pada 10 Jan hingga jam 6 pagi 14 Jan bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Namun, PBAPP menjangkakan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), akan menerima bekalan air selepas 48 jam manakala sebanyak 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selelas 72 jam. – BERNAMA