Ketua polis Kedah Datuk Fisol Salleh (dua, kanan)

ALOR SETAR – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 16 kilogram (kg) bernilai lebih RM50,000 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata kesemua suspek berusia 24 hingga 43 tahun itu direman sehingga 10 Jan depan.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 1.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kereta jenis Perodua Aruz dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai enam balutan plastik lutsinar mengandungi dadah mampat jenis ganja seberat 6.2 kg di tempat duduk penumpang tengah dianggarkan bernilai RM19,250,” katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 36 dan 32 tahun yang menaiki kereta jenis BMW pada 4.10 pagi dalam serbuan kedua di kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak mengandungi 10 balutan plastik lutsinar dadah mampat jenis ganja seberat lebih 10kg di tempat duduk penumpang bahagian belakang dianggarkan bernilai RM31,000.

“Tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah. Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Fisol, kesemua suspek itu dipercayai mula aktif pada pertengahan 2023 dan bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran itu mampu menampung keperluan 3,200 penagih di sekitar Kota Setar dan Kuala Ketil.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata 1,505 serbuan Op Dadu Khas telah dilaksanakan sepanjang 2023 bagi membanteras kes perjudian di Kedah, dan sebanyak 1,661 orang telah ditahan dengan rampasan wang berjumlah RM311,142.

“Judi ekor haram mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 863 serbuan melibatkan 876 tangkapan dengan wang rampasan berjumlah lebih RM137,000. Operasi ini diteruskan tahun ini dan dari 1 Jan hingga semalam, sebanyak 25 serbuan telah dilaksanakan bagi perjudian dalam talian dan judi ekor haram,” katanya. – BERNAMA