Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan kes prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) untuk membuang perenggan kenyataan saksi pendakwaan ke-49, Nur Aida Arifin.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan perenggan yang didakwa lebih bersifat ‘prejudis’ dan fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan percutian beliau bersama keluarga yang turut dihadiri oleh Puteri Turki dan Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid.

Percutian itu juga difahamkan telah bertukar sebagai satu pertemuan diplomatik antara induvidu-individu tersebut.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, beliau terkejut dan kecewa apabila seseorang yang hanya bertaraf pegawai penyiasat boleh membuat kesimpulannya sendiri seperti hakim.

Kata Muhammad Shafee, dakwaan Najib telah mengadakan perbincangan usaha sama diplomatik yang tidak melalui saluran perbincangan yang sah dan formal sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada negara sangat tidak boleh diterima.

“Bagaimana pula seorang IO (pegawai penyiasat) boleh buat kesimpulan seperti ini? Saksi ini tidak temuramah Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah, Ashman Najib, Putera Turki atau Tarek Obaid sebaliknya buat kesimpulan sendiri seperti ini?

“Adakah seorang IO mahu mengajar seorang pemimpin utama negara yang telah memulakan karier politik beliau seawal usia 24 tahun menjadi Timbalan Menteri sehinggalah bergelar Perdana Menteri bagaimana untuk mematuhi protokol diplomatik? Sekarang seorang IO beri nasihat kepada seorang Perdana Menteri?

“Kita sedang bercakap sebuah percutian seorang Perdana Menteri dan keluarganya dalam sebuah kapal layar, mengapa pula perlu ada pegawai tinggi kerajaan? Beliau tidak sepatutnya buat kesimpulan seperti itu, itu bukan kerja beliau tapi seorang hakim,” katanya di hadapan Collin ketika prosiding hari ini.

Sambung Muhammad Shafee lagi, tidak sepatutnya saksi membuat keputusan atau kesimpulan seumpama itu yang seolah-olah memberi gambaran negatif terhadap anak guamnya.

“Ada juga situasi yang mana pertemuan diplomatik ini dilakukan tanpa adanya pegawai tinggi kerajaan. Ada sahaja ‘side diplomatic meeting’. Jadi apa isunya? Mengapa cuba buat kesimpulan seperti itu?,” tegasnya.

Shafee Badan Peguam
Muhammad Shafee Abdullah

Collin kemudian membenarkan perenggan yang menyebut Najib tidak ikut saluran perbincangan sah itu dibuang dalam kenyataan saksi ke-49 hari ini.

Untuk makluman pada Jumaat lepas, Nur Aida ketika membacakan kenyataan saksinya mendakwa Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu sepatutnya tahu bahawa perbincangan usahasama G2G aras tertinggi seperti ini memerlukan saluran diplomatik yang sah dan bukannya berpunca daripada perbincangan tidak formal di atas kapal persiaran sahaja.

Nur Aida sedang membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mustaffa P Kunyalam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Prosiding bersambung ketika ini. -MalaysiaGazette