SEPANG – Bekas Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia yang baharu.
Manakala Farouk Kamal dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) syarikat penerbangan tambang murah itu.
Farouk sebelum ini pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X dan berkhidmat dalam Perbankan Pelaburan di Deutsche Bank, J.P. Morgan juga Credit Suisse.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kedua-dua individu berkenaan akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kumpulan syarikat penerbangan tersebut.
Menurutnya, Chester akan menggunakan pengalamannya untuk mengoptimumkan dan meningkatkan kecekapan fungsi utama syarikat penerbangan.
Manakala Farouk pula bertanggungjawab dalam fungsi korporat yang merangkumi perkhidmatan Kewangan, Kewangan Korporat, Pajakan Pesawat, Undang-Undang, Hubungan Pelabur dan Strategi.
“Kita perlukan kepimpinan yang penting sebegini untuk memastikan peranan mereka memberi kesan kepada syarikat,” katanya.
Sementara itu, Tony berkata, Capital A dijangka membentangkan pelan penyusunan semula Notis Amalan 17 (PN17) yang komprehensif selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.
“Capital A akan sentiasa berkomunikasi secara telus dan akan menyediakan semua pihak berkepentingan maklumat terperinci sepanjang proses ini,” katanya lagi.
Terdahulu Tony menyifatkan syarikat penerbangan itu kembali pulih seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19 apabila 78 peratus faktor muatan penumpang (PLF) yang direkodkan tahun lalu.
Dalam masa yang sama Tony menjangkakan sebanyak 191 pesawat akan kembali beroperasi menjelang hujung tahun ini.- MalaysiaGazette