KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pasukan peguam belanya akan mengambil tindakan terhadap tayangan dokumentari Netflix bertajuk ‘Man On The Run’ yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang sedang berjalan ketika ini.
Perkara itu didedahkan oleh peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding 1MDB hari ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi di sini.
Kata Muhammad Shafee, dokumentari itu berdurasi 1 jam 38 minit mula ditayangkan pada 5 Januari lepas sangat prejudis dan subjudis terhadap anak guam, selain perbicaraan yang masih lagi berlangsung pada masa ini.
Jelasnya, pendakwaan perlu segera bertindak memandangkan dokumentari tersebut satu penghinaan terhadap prosiding yang sedang berjalan pada masa ini.
“Dokumentari ini berkaitan ahli perniagaan Jho Low (Jho Taek Jho) yang sedang diburu. Jho Low curi wang dan beliau dibantu oleh ahli politik dan sememangnya apabila dokumentari berkisarkan naratif seperti itu hanya satu ahli politik yang muncul dalam fikiran semua.
“Tambah buruk lagi, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas juga ambil bahagian dalam temubual tersebut dan membuat kesimpulannya sendiri di luar mahkamah walaupun kes masih lagi berjalan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee mendedahkan pihaknya akan mengambil tindakan prosiding menghina mahkamah terhadap Tommy dan juga editor Sarawak Report, Claire Brown.
“Kita juga akan menulis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tayangan dokumentari Netflix ini dapat dihentikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, beliau belum lagi menonton dokumentari tersebut dan akan mengambil tindakan selepas mendapat arahan serta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dulu.
Untuk makluman, Man On The Run yang merupakan hasil tulisan dan arahan Cassius Michael Kim berkisar tentang skandal 1MDB dan Jho Low, ahli perniagaan yang kini dalam buruan dan dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Prosiding bersambung ketika ini. -MalaysiaGazette