Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengarusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) .

KUALA LUMPUR – Proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) diwajibkan melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang berlangsung hari ini yang membincangkan langkah pemantapan tatakelola BBP.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, satu garis panduan yang baharu telah dipersetujui untuk menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 dengan menggariskan beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola.

Program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP turut ditekankan dalam Garis Panduan tersebut.

Ia turut memperkasa peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat Badan Berkanun Persekutuan termasuk syarikat dan perbadanan BBP.

Memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri.

“Pelaksanaan Garis Panduan ini adalah menjadi keutamaan untuk mendukung agenda MADANI melalui pemerkasaan BBP.

“Selaras dengan prinsip ketelusan, JKKTN juga membincangkan tentang format baharu pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen untuk dikuatkuatkuasakan semula. Format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Badan Berkanun merupakan salah satu cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola yang baik.

Sumbangan Badan Berkanun sebagai Badan Awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta Jabatan-Jabatan Kerajaan yang lain.

Melalui Pantau MADANI, pemantauan Badan Berkanun Persekutuan akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU, JPM). – MalaysiaGazette