Foto Facebook KFA.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Zulkifli Che Haron yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan kes rasuah RM6 juta dibebaskan semalam.

KFA melalui kenyataan berkata, Zulkifli dibebaskan selepas memberi keterangan kepada SPRM dengan tiga lagi yang turut ditahan reman sejak Jumaat lalu juga dibebaskan.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awamnya, Ibrahim Ismail berharap masyarakat tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi berikutan penahanan Zulkifli yang dipanggil memberi keterangan itu.

Beliau menjelaskan peranan CEO adalah mengikut bidang tugas tertakluk di bawah statut persatuan berkenaan.

“KFA ingin menjelaskan bahawa fungsi utama CEO adalah bagi melancarkan pentadbiran dan menjalankan tugas sekretariat di bawah Setiausaha Kehormat menurut Statut Persatuan.

“KFA ingin menjelaskan persatuan tiada kaitan dengan mana-mana projek Kerajaan Negeri.

“Menurut statut persatuan, semua keputusan persatuan perlu diputuskan di bawah Jawatankuasa Eksekutif (Exco KFA). CEO hanya menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran Persatuan,” katanya di Facebook di sini.

Jumaat lalu, SPRM mendapat kebenaran untuk menahan reman Zulkifli bersama tiga yang lain selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sepanjang pentadbiran persatuan, pendapatan utama adalah dari sumbangan syarikat dan badan-badan korporat serta segala penerimaan wang direkodkan dalam laporan kewangan persatuan dan dibentangkan, manakala sumbangan diterima adalah tanpa imbalan dan tanpa prasangka.

“Sebagai rekod, CEO KFA dilantik pada Ogos 2020 bersusah payah dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan hutang daripada badan berkanun sejak pentadbiran persatuan bertukar kepimpinan.

“Hasil pelantikan itu juga berjaya merekodkan kejayaan proses pemisahan pasukan bola sepak FA kepada FC selain kejayaan memiliki pejabat pentadbiran sendiri pada 2023.

“KFA berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan tuduhan yang tidak berasas. Kes ini masih di peringkat awal siasatan. Persatuan menafikan semua bentuk keterlibatan rasuah. Seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yang benar, tetap benar. Tapi protokol diambil sprm bagi pakai baju oren, bergari sblm dibuktikan bersalah, perlu ubah. Jadi kaedah untuk burukkan imej dan kredibiliti orang sahaja.

Comments are closed.