KUALA LUMPUR – Penimbang tara Sepanyol yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu, Gonzalo Stampa, telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dihukum penjara selama enam bulan.
Mahkamah Madrid, Sepanyol yang menjatuhkan hukuman itu hari ini turut melarang Stampa daripada melaksanakan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan ringkas berkata, hukuman itu membuktikan usaha kerajaan tidak sia-sia.
“Tahniah kepada semua rakyat Malaysia! Penimbang tara Gonzalo Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Sepanyol bersama-sama dengan larangan daripada berlatih sebagai penimbang tara selama setahun.
“Usaha Kerajaan Madani dalam menangani dan menghentikan penipuan Sulu tidaklah sia-sia. Kami berterusan dalam perjuangan untuk keadilan, dan akan meneruskan usaha kami untuk membatalkan award akhir,” katanya di X.
Sebelum ini, Malaysia dilaporkan meminta Mahkamah Madrid menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa yang didakwa menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikan beliau sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.
Azalina berkata, keputusan mahkamah dalam kes itu amat penting kerana ia memberikan kekuatan yang lebih kepada kerajaan Malaysia untuk mematikan semua tuntutan Kumpulan Sulu yang disifatkan amat merepek.
Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dan dalam usaha untuk menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg serta Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).
“Keputusan ini juga sebagai satu jaminan untuk kita mematikan sebarang tuntutan (sama) di mana-mana negara yang berkemungkinan timbul selepas ini.
“Keduanya, saya berharap kalau boleh dia dipenjara bukan sahaja didenda sebab perangai dia yang betul-betul kurang ajar dan biadap kepada Malaysia,” kata Azalina.
Menurut Azalina, pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan satu penghakiman selaras dengan undang-undang kes terbabit dan memutuskan bahawa sebagai negara asing, Malaysia telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.
Azalina juga berkata, susulan pembatalan pelantikan Stampa itu, Mahkamah Tinggi Madrid berulang kali memerintahkan beliau secara bertulis agar segera menamatkan timbang tara berkenaan.
Bagaimanapun Stampa enggan mematuhi perintah mahkamah dan bertindak mengingkarinya secara terang-terangan yang sekali gus menjejaskan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, sebelum mengumumkan award akhir terhadap Malaysia dan sebagaimana yang dibuktikan melalui dokumen di hadapan mahkamah, Stampa telah menerima bayaran lebih AS$2.5 juta daripada warga Filipina terbabit. – MalaysiaGazette