PUTRAJAYA – Pendakwaan terhadap sebuah syarikat pengendali umrah serta dua pengarahnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) terpaksa ditangguhkan.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan tarikh baharu pada 15 Januari ini selepas pendakwaan memaklumkan pasangan suami isteri selaku Orang Kena Saman (OKS) itu dijangkiti Covid-19.
Dua pengarah itu ialah Datuk Zulkarnain Endut dan isterinya Datin Mazuin Mustafa masing-masing berusia 43 tahun berdepan pertuduhan gagal membayar balik kepada 21 mangsa yang menuntut wang RM589,031.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria berkata, sepatutnya terdapat 63 pertuduhan ditetapkan terhadap kesemua OKS hari ini selepas saman dikeluarkan 5 Januari lalu.
Sementara itu, peguam Datuk Hanif Hassan mengesahkan kedua-dua anak guamnya dijangkiti Covid-19 selain bersetuju dengan tarikh baharu dicadangkan pendakwaan.
Pada 8 Julai tahun lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memutuskan untuk menggantung lesen Emraz Travel & Tours selama enam bulan sehingga 9 Januari 2024.
Ia selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Dalam tempoh penggantungan lesen itu, Emraz Travel tidak boleh mengurusniagakan sebarang perniagaan seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.
Syarikat itu juga perlu memulangkan semula bayaran dan dokumen milik jemaah umrah yang memilih membatalkan tempahan serta membuat penjadualan semula penerbangan umrah yang tertangguh.
November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 399 laporan mengenai kes penipuan pakej umrah oleh syarikat terbabit dengan kerugian RM14.2 juta sejak Januari 2023. – MalaysiaGazette