Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee (dua,kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa (tiga,kiri) dan Pengarah Chuan Sin Sdn Bhd (CSSB), Dr Chuah Chaw Teo (tiga,kanan) selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen memorandum persefahaman (MoU) jalinan kerjasama antara Tourism Perak dan CSSB di Spritzer EcoPark, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 9 JANUARI 2024.

TAIPING – Semua pelancong yang berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 tidak perlu khuatir mengenai harga makanan memandangkan ia masih terkawal.

Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, insiden yang berlaku di kedai makanan laut di Pulau Pangkor baru-baru ini merupakan kes terpencil melibatkan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan pihak berkuasa terlibat mengambil tidakan lanjut terhadap peniaga berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menjejaskan TMP 2024.

“Setakat ini secara keseluruhannya kita di Perak tiada masalah harga dan jika ada hanya seorang dua yang cuba membuat untung dengan cepat dan kira telah arahkan pihak terlibat memastikan harga terkawal.

“Kita juga telah mengarahkan pihak yang menjaga pengguna membuat siasatan serta sebuan sekiranya perlu bagi memastikan semua hak pelancong terjaga dan tiada pihak menggunakan TMP untuk mendapat untung cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak dengan Chuan Sin Sdn Bhd (CSSB) sempena TMP 2024 di Spritzer Eco Park, di sini, pada Selasa.

MoU yang dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengarah CSSB, Dr Chuah Chaw Teo sambil disaksikan Sze Yee itu bakal mempromosikan 11 lokasi pelancongan di Perak melalui pembungkusan eksklusif air mineral jenama Cactus.

Tambah Sze Yee, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku terutamanya melibatkan imej Perak itu sendiri.

“Ini sangat penting kerana Perak terkenal dengan kos murah, makanan sedap dan lain-lain lagi, jadi kita kena pastikan semua benda terkenal ini terjaga,” katanya.

Terdahulu tular, tular video berdurasi 14 saat di TikTok memaparkan perakam didakwa telah dikenakan caj harga makanan laut yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan yang diberikan ketika berkunjung ke Teluk Nipah, Pulau Pangkor.

Pengguna akaun TikTok tersebut turut membandingkan harga makanan laut di luar negara yang lebih murah, selain mendakwa situasi itu menyebabkan dia kurang berminat untuk menyokong peniaga tempatan sekiranya keadaan itu berterusan.

Pada ruangan kapsyen, pengguna itu mendakwa dia telah dikenakan caj RM75 bagi seekor ikan siakap bakar yang dianggarkan seberat 600 ke 700 gram. – MalaysiaGazette