KUANTAN – Pekerja ladang yang dilapor hilang selepas terjatuh air parit di Sungai Bebar Utara, Pekan, semalam ditemukan lemas, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, mayat mangsa, Muhammad Adhwa Haslan, 31 ditemukan pada jam 10.20 pagi kira-kira 100 meter dari tempat dia jatuh.
“Mayat seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Motosikal mangsa juga telah dijumpai di tempat mangsa terjatuh.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, mangsa dikatakan menunggang motosikal dari tempat kerjanya di ladang YP Pekan Timur menuju ke rumahnya yang terletak di Ladang Sungai Bebar Utara bersama seoran rakan yang merupakan penyelia ladang terbabit.
Ketika sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dan rakannya yang menunggang motosikal mendapati air parit telah melimpah ke atas jalan dengan kedalaman air kira-kira 0.33 meter.
Sewaktu meredah air di atas jalan tersebut, motosikal yang ditunggangi mangsa telah hilang kawalan, menyebabkan dia terbabas dan terjatuh ke dalam parit. – MalaysiaGazette