KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh ke dalam parit di Ladang Sungai Bebar Utara, Pekan petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 11 malam tadi.
Katanya, mangsa, Muhammad Adhwa Haslan, 31, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di ladang YP Pekan Timur menuju ke rumahnya yang terletak di Ladang Sungai Bebar Utara pada pukul 4.30 petang bersama rakannya yang merupakan penyelia ladang.
“Semasa dalam perjalanan pulang, kedua-dua mangsa dan rakannya yang menunggang motosikal mendapati air parit telah melimpah ke atas jalan dengan kedalaman air kira-kira 0.33 meter.
“Sewaktu meredah air di atas jalan tersebut, motosikal yang ditunggangi mangsa telah hilang kawalan, menyebabkan dia terbabas dan terjatuh ke dalam parit,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, melihat mangsa yang terjatuh dalam parit, rakannya itu telah meminta bantuan seorang pengawal keselamatan yang berada berhampiran yang kemudian terjun ke parit bagi menyelamatkan mangsa.
“Pengawal keselamatan terjun ke parit bagi menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya kerana arus air parit tersebut terlalu deras.
“Rakan mangsa kemudiannya bertindak menelefon pengurus ladang bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan di sekitar tempat kejadian mendapati laluan yang di lalui oleh mangsa ditenggelami air banjir dan berarus deras.
“Pihak polis telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Nenasi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Gerakan SAR disambung semula pada jam 8 pagi ini,” katanya. – MalaysiaGazette