Kira-kira 30 tangki air disewa Restoran Nasi Kandar Hameediyah Lebuh Campbell untuk kegunaan sepanjang gangguan bekalan air di Pulau Pinang bermula esok.

GEORGE TOWN – Pengusaha nasi kandar Restoran Hameediyah, di sini, terpaksa menyewa 30 tangki air bernilai keseluruhan RM18,000 untuk memastikan operasi perniagaan mereka tidak terjejas sepanjang gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula esok di negeri ini.

Wakil pengurusan Restoran Hameediyah, Syazwani Abdul Rahim berkata, pihaknya melakukan perancangan untuk menyewa tangki daripada sebuah syarikat swasta di negeri ini selepas dua minggu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan isu gangguan bekalan air berjadual itu.

Jelasnya, setiap satu tangki bernilai RM600 dengan muatan maksimum 300 liter itu akan digunakan untuk masakan termasuk membersihkan bahan mentah memandangkan pelanggan tidak dibenarkan makan di premis dalam tempoh tersebut.

“Operasi perniagaan hanya untuk pesanan bawa pulang kerana kita bimbang bekalan air tidak mencukupi.

Syazwani (kanan) menunjukkan air yang siap diisi dalam tangki untuk kegunaan restoran mereka.

“Bagaimanapun, kita akan lihat esok jumlah penggunaan air secara keseluruhan bagi menentukan sama ada mahu meneruskan konsep sama atau air itu cukup untuk benarkan pelanggan makan di premis.

“Meskipun kadar sewaan tangki air tinggi kita terpaksa akur kerana dalam tempoh tersebut air amat penting kerana kita tidak mahu mengecewakan penggemar nasi kandar memandangkan kebanyakan restoran nasi kandar tutup selain mahu memastikan penyediaan makanan bersih untuk mereka,” katanya ketika ditemui di premisnya di Lebuh Campbell, di sini, hari ini.

Bagi pemilik bersama kafe Tea Kadai, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, mereka membenarkan pelanggan makan di premis menggunakan bekas makanan pakai buang. 

“Penggunaan air untuk operasi perniagaan kami tak banyak memandangkan penyediaan utama menggunakan susu segar menyebabkan kami ambil keputusan untuk beroperasi seperti biasa.

Mohamed Rizwan (baju merah) memberikan air minuman secara percuma kepada pelanggan di premisnya susulan gangguan bekalan air bermula esok.

“Pelanggan juga boleh guna peluang ini untuk bersantai bersama keluarga serta kenalan sekali gus meredakan tekanan sewaktu dalam berdepan masalah gangguan bekalan air kali ini.

“Selain itu, kita juga laksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan 2,000 botol air mineral berkapasiti 1,500 liter kepada beberapa sekolah yang beroperasi dalam tempoh tersebut serta pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu situasi berbeza bagi pemilik Restoran Nasi Kandar Deen’s Maju serta Pokok Ketapang yang memilih untuk menutup operasi bermula esok hingga 14 Januari meskipun kehilangan pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit.

Pengurus Deen’s Maju, Mohamed Ismail Seeni Mohamed berkata, pihaknya tiada pilihan selain menutup operasi susulan mereka memerlukan penggunaan air yang banyak dalam operasi seharian.

Mohamed Ismail.

“Saya tidak dapat menjangkakan keperluan air simpanan untuk kegunaan harian tambahan pula setiap hari kami perlu membersihkan 150 ekor ayam, 200 kilogram beras ini belum ambil kira kegunaan lain untuk masakan.

“Kami minta maaf kepada penggemar nasi kandar kerana terpaksa menutup operasi dalam tempoh empat hari ini  meskipun kerugian mencecah RM50,000 dalam tempoh empat hari itu,” katanya.

Menurut pengurus Nasi Kandar Pokok Ketapang, Mohammad Uvas Mohammad Jamil, sejak beroperasi pada tahun 1957 ini merupakan kali pertama mereka menutup operasi atas sebab gangguan bekalan air.

Mohammad Uvas.

“Ramai berpendapat boleh beroperasi dengan konsep bawa pulang pesanan (take away) tapi kita lebih memerlukan air dalam penyediaan makanan untuk memastikan makanan itu betul-betul bersih serta selamat kepada pelanggan.

“Saya rasa keputusan tutup operasi sementara lebih bagus walaupun kami berdepan situasi kekurangan pendapatan berjumlah RM30,000,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.

Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah, sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast