Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Akta Anti Lompat Parti bukan bersifat anti tukar kerajaan, justeru undang-undang yang digubal itu hanya menghalang pertukaran parti politik selepas seseorang dipilih ke Dewan Rakyat.

Perkara ini sangat jelas apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dikenakan sebarang tindakan lompat parti, kata pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Menurutnya, tafsiran ini juga diberikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul melibatkan 4 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Di dalam dewan rakyat pada 9 November 2023 yang lalu Johari telah menyatakan peruntukkan lompat parti tidak menyekat mana-mana orang (ahli Parlimen) untuk memberi sokongan dan mereka tidak perlu mengosongkan kerusi kerana mereka boleh sokong secara diam-diam atau secara terbuka.

Jadi tidak ada masalah untuk sebarang langkah sama ada Langkah Dubai atau Langkah Burundi dilakukan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, agar menyemak fakta melibatkan tafsiran perlembagaan dan undang-undang sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Jika tak pasti jangan kongsi dan semak terlebih dahulu fakta, tambahan pula jika melibatkan tafsiran perlembagaan dan undang-undang. Jangan mengelirukan orang awam dengan fakta yang tidak sahih,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi, pertukaran kerajaan juga adalah salah satu dari proses demokrasi di mana ahli dewan rakyat yang dipilih oleh rakyat bebas untuk memberi sokongan atau membuat sebarang keputusan tanpa paksaan atau sesuatu yang mengikat diri mereka.

Perlembagaan di bawah perkara 43 fasal 4 membenarkan perkara ini berlaku dan ia bukan satu jenayah seperti yang digambarkan, ini adalah peralihan kerajaan mengikut perlembagaan bukan Coup d’état (kudeta) iatu rampasan kuasa secara haram atau melalui paksaan.

Tambahnya, Perkara 43 Fasal 2(a) jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti.

Manakala Perkara 43 Fasal 4 menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat maka beliau hendaklah meletakkan jawatan.

Mohamad Shafiq berkata, Ini proses demokrasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka.

Semalam, ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Shamsul Iskandar berkata, gerakan Langkah Dubai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Malah, ia adalah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti telah pun diluluskan, sekali gus menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran.

“”Kita mempunyai Akta Anti Lompat Parti yang telah digubal untuk menghalang tindakan situasi seperti ini berlaku dengan perubahan Perdana Menteri.

“Kalau betul ada rasa ketidakpuasan begitu, sewajarnya dibawa ke Parlimen. Tidak perlu untuk buat cerita yang meresahkan rakyat di negara ini,” kata Shamsul Iskandar. – MalaysiaGazette

Shamsul Iskandar buat laporan polis ‘Langkah Dubai’