FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) membayar balik sejumlah RM72.2 juta kepada 19,673 pekerja asing dalam dalam menangani Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).

Menurutnya, FGV memperuntukkan sejumlah RM112 juta untuk membayar balik yuran pengambilan pekerja asingnya, termasuk bekas pekerja asing.

Bayaran balik kepada pekerja dibuat dalam tiga peringkat yang dibayar pada Mac, Jun dan September 2023.

Jelasnya, pembayaran balik bekas pekerja migran FGV ini akan dijalankan sehingga penghujung 2024.

“FGV telah memberi keutamaan tertinggi untuk melaksanakan pelan pemulihan bagi menegakkan hak buruh dan menangani sebarang jurang dalam amalan buruhnya.

“Langkah ini selaras dengan komitmennya terhadap piawaian pengambilan yang beretika dan bertanggungjawab serta prinsip ‘tiada yuran dalam bilan’ pekerja, FGV,” kata syarikat perladangan itu dalam kenyataan di sini.

Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV telah melantik syarikat konsultan antarabangsa, LRQA – yang sebelum ini dikenali sebagai ELEVATE, bagi kerja-kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang telah dibuat.

LRQA merupakan sebuah konsultan bebas dalam bidang kelestarian dan rantaian bekalan yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja pematuhan sosial dan menangani pertuduhan isu buruh paksa melalui pendekatan mengutamakan pekerja.

Prosedur pengesahan oleh LRQA yang berjalan antara 30 Oktober dan 24 November 2023 telah menunjukkan 100 peratus pekerja yang ditemubual telah menerima pembayaran balik yang dibuat oleh FGV.

Maklum balas positif dari kerja-kerja pengesahan oleh LRQA jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja.

FGV turut melaksanakan program pembayaran balik kepada bekas pekerja migran FGV yang layak menerima pampasan bagi yuran pengambilan pekerjaan yang dikenakan oleh pihak ketiga.

Dengan kerjasama LRQA, FGV sedang bekerja keras menghubungi semula bekas-bekas pekerja migran FGV untuk memaklumkan mengenai program pembayaran balik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, FGV telah memperkukuhkan prosedur-prosedur bagi pengambilan pekerja migran dengan pelaksanaan langkah-langkah tambahan termasuk menugaskan LRQA untuk mengadakan kaji selidik dalam kalangan pekerja migran baharu bagi memastikan mereka tidak membuat sebarang bayaran pengambilan pekerjaan kepada mana-mana pihak.

Perjanjian terkini FGV bersama agensi-agensi pekerjaan yang dilantik turut menyatakan tanggungjawab mereka untuk memulangkan sebarang bayaran yuran pengambilan pekerja yang telah dilaporkan oleh pekerja-pekerja migran.

Segala pemulangan yang dibuat oleh agensi-agensi pekerjaan akan disemak oleh LRQA.

Tambahan lagi, latar belakang agensi-agensi pekerjaan akan disiasat sebelum pelantikan dibuat oleh FGV.

Agensi-agensi pekerjaan juga diwajibkan untuk menjalani proses penilaian dan program naik taraf yang dikendalikan oleh LRQA bagi memastikan pematuhan kepada amalan pengambilan pekerja yang beretika.

“FGV percaya bahawa inisiatif-inisiatif serta langkah-langkah ini akan memperkukuhkan amalan pengurusan pekerja FGV, sejajar dengan usaha-usaha FGV untuk menamatkan WRO.

“LRQA dijangka akan menjalankan penilaian lanjut pada suku pertama 2024 bagi menilai pelaksanaan keseluruhan perancangan pemulihan FGV. Sekiranya penilaian tersebut mendapati perancangan pemulihan berjalan lancar, FGV akan menghantar petisyen kepada CBP bagi menamatkan WRO, yang dijangka akan dibuat pada suku kedua 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette