KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kecewa dengan nasib dialami 224 mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor semalam yang terpaksa berlapar selama enam jam susulan bantuan makan tengah hari yang dikatakan tiba lewat.
Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hanya menerima makanan tengahari pada pukul 6 petang
“Saya terkilan apabila mendapat tahu mengenai berita ini. Orang nak makan tengah hari tapi mereka hantar jam 6 petang. Kita mesti bertimbang rasa dan pengurusan makanan perlu lebih efisien.
“Sudahlah mangsa-mangsa banjir ini risau harta benda di rumah mereka yang ditenggelami air. Malah ada di antara mereka sudah mengalami kerugian ribuan ringgit.
“Jadi, saya harap jangan menyusahkan dan memberi tekanan emosi lagi kepada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Koo berkata, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pengurusan yang bertanggungjawab tidak mampu untuk menyediakan makanan tepat pada masanya adalah dicadangkan agar penyediaan makanan dibuat secara bergotong royong.
“Biar mereka masak sendiri sebagai makanan tambahan, sediakan perkakas dan tempat selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Koo juga menasihati agar kualiti makanan yang dihantar ke PPS untuk mangsa banjir perlu dijamin selamat.
“Selain daripada isu kelewatan, saya berharap pihak pembekal makanan menitik berat mengenai isu kualiti makanan yang disediakan.
“Saya berharap jangan hanya menyediakan makanan sebagai syarat. Perlu teliti sekiranya ada lauk yang basi atau nasi mentah. Jangan ulangi kesilapan seperti yang berlaku di beberapa PPS sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette