KUALA LUMPUR – Laporan berita kononnya Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini dinafikan kesahihannya.
Menurut peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya terkedu dengan laporan tersebut kerana anak guamnya sendiri tidak pasti Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat bulan ini bagi menentukan pengampunannya.
Mengulas laporan Channel News Asia (CNA) itu, Muhammad Shafee berkata, beliau sendiri tidak pernah dimaklumkan apa-apa berkaitan permohonan pengampunan Diraja itu namun agensi berita itu sudah tampil mengeluarkan artikel sensasi dan tidak berasas.
”Jika lembaga itu bersidang untuk mempertimbangkan permohonan Najib, ia akan dijalankan secara rahsia kerana tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi.
“Bagaimana pula organisasi media boleh dapat akses kepada sesuatu maklumat yang kerahsiaanya terjaga selagi belum ada apa-apa kenyataan rasmi. Kami terkedu, tergamam.
“Kami sebagai peguam Najib yang terlibat dalam petisyen pengampunannya juga tidak mempunyai apa-apa maklumat berkaitan perkara ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Kata Muhammad Shafee lagi, pihaknya juga bingung siapakah sebenarnya ‘sumber’ yang dimaksudkan oleh CNA dalam laporan mereka.
CNA melaporkan, Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.
Menurut laporan itu, permohonan oleh Najib yang sedang dipenjarakan tersebut akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga Januari selepas ianya ditangguhkan pada bulan lalu.
Ini kerana dakwa laporan itu lembaga enam anggota memutuskan mereka memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.
Dilaporkan mesyuarat yang akan datang itu akan menjadi antara tugas terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – MalaysiaGazette