KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Wangsa Maju mengutuk tindakan ganas yang mengancam keselamatan pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dengan membaling molotov cocktail di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu, pagi tadi.
Susulan itu, Naib Ketua Pemudanya, Shazril Shukri menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi membawa pelaku terbabit ke muka pengadilan.
“Pihak berkuasa perlu menghukum pelaku tanpa prejudis, tanpa mengira status, agama mahupun kaum supaya mesej jelas sampai pada rakyat dan dijadikan pengajaran oleh semua pihak.
“Jika perbuatan khianat ini bermotifkan politik, mengapa perlu bertindak ganas sehingga merosak harta benda? Adakah itu apa yang diajar dalam agama?
“Walaupun wujud perbezaan pendapat, namun ia bukanlah ‘lesen’ meluahkan kemarahan dengan bertindak melulu hingga mengancam keselamatan nyawa orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shazril juga mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan perilaku bersifat barbarik dan fahaman ekstremis tidak diterima di negara ini.
“Dasar parti Amanah menganjurkan perpaduan dan keharmornian pelbagai kaum, semua pihak seharusnya tidak terlalu mengikut nafsu amarah dan perasaan hingga melakukan tindakan yang tidak wajar.,” ujarnya.
Terdahulu, kediaman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan, molotov cocktail awal pagi tadi.
Menerusi laman Facebook, Koo Ham berkata, kejadian itu menyebabkan kebakaran yang memusnahkan tiga kenderaan miliknya.
Bagaimanapun, kebakaran itu dapat dibendung dan tiada kecederaan membabitkan beliau dan ahli keluarganya. – MalaysiaGazette