KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengenakan denda sehingga RM30,000 terhadap syarikat membawa masuk pekerja asing tapi gagal menempatkan mereka dalam sektor pekerjaan dialu-alukan.
Ia bagi memastikan tidak timbul lagi isu ejen dan segelintir syarikat menggunakan peluang untuk menjual kuota pengambilan pekerja asing dan menganiaya pekerja warga asing untuk kepentingan diri.
Presiden Parti Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih sebelum ini banyak syarikat ‘kebal’ dalam mempergunakan kuota pengambilan pekerja asing sehingga memberi kesan besar kepada semua industri dalam negara.
Menurutnya, apabila nilai tinggi dikenakan sebagai denda selain menyenaraihitamkan syarikat terbabit dalam sektor pengambilan pekerja asing perlu dianggap amaran supaya tidak ada lagi mana-mana pihak berani melakukannya.
“Apabila pekerja asing tiba di Malaysia dengan janji mendapat pekerjaan baharu tetapi kemudiannya terpaksa melakukan kerja rencam untuk kelangsungan hidup atau tidak mempunyai kerja untuk berbulan lama, kesannya amatlah besar. Lagi-lagi ramai meminjam sebelum membayar nilai tinggi untuk masuk bekerja ke sini.
“Harapan awal untuk mendapat pekerjaan stabil diganti oleh realiti pahit dalam situasi kerja yang tidak menentu serta bergelut dengan kemiskinan memang sangat mencabar. Lebih menyedihkan apabila kumpulan ini disimpan di dalam bilik selama beberapa bulan tanpa pekerjaan dan makanan yang sesuai.
“Daripada sah mereka menjadi haram, mereka menganggur dan mula bekerja di pasar, restoran dan peniaga kecil. Perlu diingat pekerja asing ini tidak membayar cukai, tiada tidak permit kerja yang akhirnya menyebabkan kita hilang pendapatan negara,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Johari yang mencadangkan penalti sehingga RM30,000 jika adanya syarikat tidak bertanggungjawab membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
Wang itu, katanya, boleh beliau boleh digunakan untuk hantar golongan itu pulang ke negara asal.
Kata Shanmugam lagi, selain daripada penalti ada baiknya kerajaan mengambil beberapa langkah drastik termasuk membatalkan atau gantung lesen perniagaan majikan yang bersalah menipu pekerja asing.
“Juga wujudkan senarai hitam awam untuk memberi amaran kepada pekerja asing yang berpotensi selain mulakan tindakan undang-undang yang mungkin melibatkan pertuduhan jenayah untuk penipuan atau memberikan maklumat salah.
“Saya juga cadangkan supaya berikan mandat kepada majikan untuk membayar pampasan kepada pekerja asing yang terjejas untuk semua kerugian kewangan. Jalankan audit berkala dan pemeriksaan secara mengejut dan wujudkan kerjasama yang kukuh dengan agensi kerajaan, lembaga buruh dan badan kawal selia,” tegasnya. – MalaysiaGazette