KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Badan itu dalam satu kenyataan berkata, siasatan berkaitan dana RM700 juta untuk tujuan promosi dan publisiti.
“SPRM juga ingin memaklumkan telah merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu,” kata SPRM dalam kenyataan satu muka surat.
Difahamkan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera diambil keterangan di sekitar ibu negara kira-kira 10 pagi tadi.
SPRM juga sudah merakam keterangan beberapa individu termasuk pembantu peribadi kepada Ismail Sabri.
Siasatan berkenaan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang bekas perdana menteri untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.
Turut akan dipanggil, pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Dalam pada itu, SPRM memaklumkan isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anaknya iaitu Mohammed Amin dan Mohammed Amir dipanggil memberikan keterangan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.
“SPRM ingin menjelaskan satu Notis telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim bin Zainuddin di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala Notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau.
“Sebagaimana yang telah dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Abdul Daim Zainuddin ini telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora,” jelas SPRM lagi.
Malah, siasatan terhadap aset milik Daim ini juga masih berjalan.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu. – MalaysiaGazette