Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ABDULLAH YUSOF.

IPOH – Polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran melibatkan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berikutan itu polis akan melakukan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut bagi mengesan punca kejadian tersebut.

Menurutnya, polis menerima panggilan daripada Koo Ham memaklumkan  mengenai kejadian tersebut sekitar jam 2.55 pagi.

“Kebakaran itu membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz musnah manakala dua kenderaan lain jenis Honda CR-V rosak di bahagian bumper belakang serta bahagian badan sebelah kanan dan Toyota Hilux di bahagian hadapan pacuan empat roda tersebut.

“Turut ditemui di lokasi kebakaran adalah botol disyaki mengandungi molotov cocktail.

“Sehubungan itu, kes disiasat dibawah seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan akan disiasat secara terperinci serta dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, usaha bagi mengesan individu yang terlibat kini masih diteruskan.

“Justeru, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Koo Ham pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan supaya pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya memohon maaf menyatakan tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rumah Koo Ham diserang dengan molotov cocktail – Anthony