DOHA – Juara empat kali Jepun berada pada landasan tepat untuk memahat sejarah dan mengubati duka lima tahun lepas pada kempen Piala Asia 2023 di bumi juara bertahan, Qatar yang bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak global bermula esok hingga 10 Feb ini di sini.
Ketua Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu yang menyaksikan pasukannya tumpas 1-3 kepada Qatar pada final edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah melupakan kisah lampau dan memasang impian membawa skuad Samurai Biru merangkul gelaran kelima kali ini.
Jurulatih Terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 itu yang membantu Jepun menjuarai Piala Asia buat julung kali pada 1992 ketika sebagai pemain, membimbing pasukan memenangi 10 perlawanan terakhir secara berturut-turut dalam perjalanan ke Doha.
Sembilan daripadanya menyaksikan Jepun meledak empat gol dan ke atas antaranya membenam juara Piala Dunia empat kali Jerman 4-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa September lepas, selain kemenangan 5-0 masing-masing berdepan Myanmar, Syria dan Thailand baru-baru ini.
Jepun turut memberi amaran awal kepada pencabarnya antaranya Iran, Korea Selatan, Australia, Arab Saudi dan Qatar apabila membenam Jordan 6-1 pada aksi pemanas badan yang berlangsung secara tertutup di sini, Selasa lepas.
Secara keseluruhan skuad bimbingan Moriyasu yang merupakan pasukan terbaik Asia di ranking dunia ke-17, meledak 45 gol dan hanya dibolosi enam gol dalam 10 aksi terakhir sekali gus membina reputasi sebagai pasukan yang digeruni dan antara pilihan utama merangkul kejuaraan.
Selain itu, Jepun turut diperkuat dengan kehadiran mereka yang beraksi di Eropah antaranya pemain sayap Brighton & Hove Albion Kaoru Mitoma, pemain tengah Liverpool Wataru Endo, pemain pertahanan Arsenal Takehiro Tomiyasu dan pemain sayap Real Sociedad Takefusa Kubo.
Jepun, juara 1992, 2000, 2004 dan 2011 akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu gergasi Asia Tenggara Vietnam yang dibimbing bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier sebelum menentang juara 2007 Iraq dan Indonesia dalam saingan Kumpulan D.
Sementara itu, Qatar memiliki kelebihan sebagai tuan rumah dalam misi mempertahankan gelaran, namun menerima tamparan awal selepas bekas pengendali Real Madrid dan Portugal, Carlos Queiroz dipecat sebagai jurulatih bulan lepas susulan prestasi terumbang-ambing The Maroons sepanjang 2023.
Berbekalkan tempoh bersama pasukan yang singkat, pengendali baharu kelahiran Sepanyol Marquez Lopez dijangka menggunakan segala pengalamannya membimbing kelab Qatar Stars League Al-Wakrah sejak 2018, dalam membentuk pasukan terkuat bagi mengharungi kempen mencabar.
Qatar yang merangkul gelaran sulung pada 2019 akan bertemu Lubnan dalam perlawanan Kumpulan A yang juga aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Stadium Lusail di sini, yang merupakan gelanggang final Piala Dunia 2022 yang dimenangi Argentina selepas menewaskan Perancis.
Pasukan tuan rumah yang menghuni ranking dunia ke-58 itu turut diundi bersama China dan Tajikistan.
Dalam pada itu, impak kebanjiran pemain-pemain ternama Eropah antaranya penyerang bintang Portugal Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi yang secara tidak langsung membuatkan bola sepak di Arab Saudi mula menarik perhatian dunia, akan menjadi fokus pada Piala Asia kali ini.
Ia kerana situasi itu telah memberikan masalah kepada pengendali Arab Saudi Roberto Mancini dalam usahanya menghadiahkan kejuaraan pertama sejak 1996 kepada Green Falcons apabila sebahagian besar pemain tonggaknya tidak mendapat minit permainan yang cukup.
Arab Saudi yang merupakan juara tiga kali dan pasukan ke-56 dunia akan memulakan kempen Kumpulan F bertemu Oman pada 17 Jan sebelum membuat perhitungan dengan Kyrgyzstan dan juara Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 Thailand.
Hasrat pengendali Korea Selatan Jurgen Klinsmann untuk membantu pasukan menamatkan penantian 64 tahun memenangi Piala Asia semula tidak boleh dipandang remeh apatah lagi skuad Taegeuk Warriors tampil dengan pasukan terkuat diketuai penyerang sensasi Tottenham Hotspur Son Heung Min.
Son antara barisan pemain Korea Selatan yang berpangkalan di Eropah selain penyerang Wolverhampton Wanderers Hwang Hee Chan, pemain pertahanan Bayern Munich Kim Min Jae dan pemain tengah Paris Saint-Germain Lee Kang In.
Korea Selatan yang berada di ranking dunia ke-23 merupakan pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan E, namun berdepan cabaran Jordan, Bahrain dan Malaysia dalam perebutan tempat ke pusingan 16 terbaik.
Iran, juara tiga kali dan Australia yang merangkul gelaran tunggal pada 2015 juga antara pasukan yang perlu diberi perhatian memandangkan mereka mempunyai skuad dengan barisan pemain berpengalaman yang mampu mencipta kejutan.
Palestin yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan 24 pasukan di pusingan akhir kali ini dijangka menarik perhatian ramai dan menerima sokongan susulan keganasan rejim Zionis di Gaza.
Piala Asia 2023 yang dijanjurkan kira-kira setahun selepas penganjuran bersejarah Piala Dunia 2022 di sini, bakal menggunakan tujuh daripada keseluruhan lapan stadium yang menganjurkan Piala Dunia iaitu Stadium Al Bayt, Stadium Lusail, Stadium Ahmad Bin Ali, Stadium Education City, Stadium Antarabangsa Khalifa, Stadium Al Thumama dan Stadium Al Janoub.
Piala Asia 2023 memasuki edisi ke-18 dan Qatar menjadi tuan rumah untuk kali yang ketiga dalam sejarah kejohanan selepas menganjurkannya buat kali pertama pada 1988.- BERNAMA