Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Difahamkan, ia bagi memberi penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau tiba di Putrajaya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Difahamkan proses rakaman percakapan masih berlangsung di bilik siasatan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron baru-baru ini ditahan reman SPRM susulan siasatan kes rasuah RM6 juta dan sudah dibebaskan.

KFA melalui kenyataan berkata, Zulkifli dibebaskan selepas memberi keterangan kepada SPRM dengan tiga lagi yang turut ditahan reman juga dibebaskan.

Baru-baru ini, SPRM mendapat kebenaran untuk menahan reman Zulkifli bersama tiga yang lain selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah. – MalaysiaGazette