Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang didakwa cuba mengaitkan kejadian kebakaran rumahnya dengan pembangkang.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemimpin DAP itu sewajarnya memberi kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Kami mengucapkan takziah kepada Ngeh Koo Ham atas insiden yang tidak diingini ini namun ini bukan menjadi tiket baginya untuk membuat satu tuduhan tidak berasas.

“Koo Ham tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar insiden kali ini merupakan satu bentuk serangan.

“Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan bebas. Berikan kepercayaan kepada PDRM yang kita yakin kecekapan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, PN amat menyokong tindakan undang-undang terhadap pelaku terbabit kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang.

Sementara itu, beliau juga berkata, kenyataan Koo Ham tersebut seolah-olah membutakan mata terhadap kesalahan lalu beliau apabila beberapa kali menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Tidak cukupkah dengan kenyataan biadab sebelum ini sehinggakan ditambah sekali lagi dengan persepsi jahat sebegini?

“Koo Ham juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu.

“Koo Ham sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti kukuh,” katanya.

Menurut Ahmad Fadhli, bagi menghentikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu daripada terus mengulangi tindakan sedemikian beliau akan menggerakkan laporan polis terhadap Koo Ham.

Semalam, Koo Ham dilaporkan berkata, beliau memaafkan pihak yang melontar bom botol sehingga menyebabkan kebakaran yang merosakkan kereta dan rumahnya.

Bagaimanapun dia menuding jari kepada Pas dan Bersatu yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Koo Ham mendakwa serangan yang bertujuan untuk membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast