Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (barisan depan, dua dari kiri) selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menyedari landskap pertahanan hari ini sudah menjadi semakin kompleks – Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneruskan strategi sedia ada selain membuka ruang kepada sebarang penambahbaikan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kertas Putih Pertahanan (KPP) secara asasnya telah menggariskan dengan jelas dan baik, beberapa strategi, hala tuju dan prinsip pertahanan negara kita.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa, meskipun saya komited untuk menterjemah dan melaksanakan KPP Pertahanan seperti yang sudah disusun sebelum ini, kementerian mesti memberi perhatian yang serius kepada perkembangan dan realiti semasa,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

KPP merupakan dokumen yang menetapkan hala tuju kerajaan dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kanan) selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Komitmen dan keutamaan kerajaan digariskan bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Berdasarkan Kerangka Pertahanan Negara, KPP membentuk strategi jangka panjang dalam memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Melalui KPP, pertamanya, dasar dan strategi keselamatan serta pertahanan memerlukan konsistensi.

Kedua, pelaksanaan KPP akan membuktikan bahawa rombakan Kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan ialah suatu proses yang matang, profesional, tidak political dan sama sekali tidak akan menjejaskan kepentingan negara.

“Segala yang berlaku di sekeliling kita, sama ada wabak kesihatan atau perubahan iklim atau krisis tenaga mahu pun peperangan kognitif, kesemuanya menjadikan kita menjadi sebahagian daripada pemainnya.

“Misalnya dalam konteks tekanan ekonomi domestik, krisis tenaga dunia, perkembangan teknologi disruptive yang pantas serta pelbagai ancaman dalaman dan luar menjadikan perancangan pertahanan dilakukan dengan pemikiran dan fokus yang baharu.

“Ini bermakna, realiti pertahanan sudah kita tidak lagi terbatas pada kesiagaan peperangan tradisional. Ia jauh lebih kompleks dan lebih memberat kepada segala ancaman bukan tradisional yang jauh lebih mencabar,” ujarnya.

Mohamed Khaled menegaskan, memahami semula kerumitan dan kedinamikan pertembungan kuasa besar dan memberi makna kepada semua ini demi masa depan Malaysia, kementerian ini dan warganya.

Justeru, Kajian Separuh Penggal KPP yang akan dimulakan tahun ini mesti memberikan fokus kepada kepada perancangan pertahanan yang lebih terkini khususnya dengan mengambil kira latar baharu ekosistem global yang telah berubah dengan sangat pesat. – MalaysiaGazette