SPRM hakim
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini sudah peringkat akhir.

Menurut Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim, butiran terperinci berkaitan siasatan itu tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.

Malah, katanya, badan itu kini dalam peringkat untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini juga, SPRM telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal pagi ini, Muhammad Sanusi dipanggil ke SPRM bago merakamkan keterangan dan beredar selepas tiga jam di ibu pejabat badan itu sejak 8.30 pagi.

Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu dipanggil untuk membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM6 juta membabitkan KFA.

Difahamkan, siasatan dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang dijanjikan mendapat projek di negeri di Kedah sekiranya menyalurkan dana kepada persatuan bola sepak berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron baru-baru ini ditahan reman SPRM susulan siasatan kes rasuah RM6 juta dan sudah dibebaskan.

KFA melalui kenyataan berkata, Zulkifli dibebaskan selepas memberi keterangan kepada SPRM dengan tiga lagi yang turut ditahan reman juga dibebaskan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sanusi enggan komen selepas beri keterangan kepada SPRM