Home Politik Sanusi enggan komen selepas beri keterangan kepada SPRM

Sanusi enggan komen selepas beri keterangan kepada SPRM

PUTRAJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Muhammad Sanusi yang menaiki kenderaan Mercedes Benz berwarna kelabu dilihat keluar pukul 11.37 pagi selepas hampir tiga jam dirakamkan keterangan.

Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan untuk bertemu dengan wakil media.

Malah pemimpin Pas itu juga tidak membuka cermin kereta seperti kebiasaannya.

Beliau memasuki pekarangan ibu pejabat SPRM pukul 8.30 pagi tadi bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron baru-baru ini ditahan reman SPRM susulan siasatan kes rasuah RM6 juta dan sudah dibebaskan.

KFA melalui kenyataan berkata, Zulkifli dibebaskan selepas memberi keterangan kepada SPRM dengan tiga lagi yang turut ditahan reman juga dibebaskan.

Baru-baru ini, SPRM mendapat kebenaran untuk menahan reman Zulkifli bersama tiga yang lain selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MB Kedah beri keterangan kepada SPRM hari ini