Datuk Arshad Mahmood (kanan) menyampaikan sampel Premium Orchid Gift Box kepada Rafizal Ali, diperhatikan oleh Nizam Malik (kiri sekali),dan Shiz Kassim (tiga dari kanan)

KUALA LUMPUR – International Commercial Bank (ICB) yang berpangkalan di Sudan Selatan akan melabur sebanyak 25 juta Euro atau RM125 juta bagi membiayai 50 pengusaha projek Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) di Lukut dan Linggi, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.

Pengerusi Eksekutif ICB yang juga pengasas dan Pengerusi International Investment Consortium (IIC), Datuk Arshad Mahmood berkata, pembiayaan untuk tempoh lima tahun itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pengeksportan orkid ke pasaran Timur Tengah.

“Dalam usaha kami untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam arena global, Konsortium IIC dengan tegas menetapkan peranannya sebagai pelopor dalam reka bentuk dan kewangan peringkat negara.

“Fokus pelaburan kami adalah pada komuniti global. Kami berkomitmen untuk mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberdayakan golongan muda,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diwakili oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Rafizal Ali di sini hari ini.

Arshad berkata, pembiayaan itu merupakan satu inisiatif yang melahirkan satu model keberhasilan yang menyepadukan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.

“Sebanyak lima peratus daripada peruntukan kami dikhususkan kepada pembangunan pendidikan. Ini membuktikan komitmen kami untuk memupuk modal insan yang berkualiti.

“Projek ini tidak hanya melibatkan satu produk; ia adalah simbolik keunggulan negara. Seperti import produk dari Jepun yang tidak hanya menunjukkan asal syarikat, tetapi juga negara pengeluar, kami yakin bahawa kualiti produk mencerminkan kualiti negara. Inilah cara kami untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan dan inovasi,” tambahnya.

Menurutnya, dalam konteks pelaburan, IIC memahami bahawa pemasaran memainkan peranan kritikal.

“Keberhasilan pelaburan tidak dapat dicapai tanpa strategi pemasaran yang cekap. Kami melihat ke China sebagai contoh. Di negara itu, sokongan kerajaan terhadap pelaburan memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka. Kami mengagumi
pendekatan teknikal dan keseluruhan SOP mereka yang disepadukan dengan pasukan pemasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Orchidmas Sdn. Bhd, Shiz Kassim berkata, sebagai syarikat yang dipertanggungjawabkan menguruskan pemasaran produk
orkid itu ke Dubai, Orchidmas komited untuk membawa inovasi dalam produk dan mencipta nilai yang tinggi bagi industri penjualan orkid.

“Fokus kami adalah memperkenalkan orkid Malaysia ke pasaran global dengan kualiti yang unggul. Premium Orchid Gift Box yang kami tawarkan dijamin menjadi nilai tambah dengan imej yang tinggi dan memberikan pengalaman mewah kepada
pelanggan.

“Inisiatif pemasaran kami dimulai dengan promosi orkid Malaysia di pasaran Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Orchidmas terus berusaha dalam pengembangan jenama dan strategi pemasaran untuk memajukan orkid Malaysia. Langkah proaktif kami melibatkan penubuhan syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Orchidmas International LLC, yang akan menjalin kerjasama erat dengan pengedaran tempatan di UAE, terutamanya di Dubai.

“Ini membuka peluang besar dalam menggali potensi perniagaan dan mengukuhkan kehadiran Orchidmas di pasaran antarabangsa,” katanya.

Penasihat Projek LEOD, Jabatan Pertanian Malaysia, Ts. Mohamad Nizam Malik pula berkata, pembangunan 50 ladang eksport orkid itu hanya merupakan fasa pertama.

“Kami menjangka akan terdapat dua lagi fasa selepas ini dengan tambahan 100 ladang eksport bagi memenuhi permintaan pasaran Dubai,” katanya. – MalaysiaGazette