KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon Kementerian Komunikasi supaya tindakan undang-undang terhadap produksi dan pengarah dokumentari, Man On The Run.
Dalam satu kenyataan oleh peguamnya yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, surat permohonan itu telah dihantar semalam dan salinannya diberikan kepada media hari ini.
Selain Kementerian Komunikasi, pihaknya juga telah menyerahkan surat permohonan yang sama kepada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.
Salinan itu juga turut dikemukakan kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan pihak pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Najib juga memohon supaya platform penstriman Netflix supaya dokumentari itu dikeluarkan selain mahu tindakan tegas secara perundangan dikenakan terhadap produksi dan pengarah, Cassius Michael Kim.
Kerajaan Malaysia juga digesa untuk terus melarang tayangan Man On The Run daripada terus disiarkan di negara memandangkan ia sangat berkaitan dengan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang masih berjalan ketika ini.
Dokumentari itu didakwa prejudis dan subjudis bukan sahaja terhadap prosiding sedang berlangsung juga ia memburukkan imej anak guamnya yang masih dibicarakan.
Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan Najib mendakwa telah diselewengkan dan dikelirukan bagi memberikan temuramah dalam filem dokumentari Netflix, Man On The Run beberapa tahun lepas.
Malah bekas Perdana Menteri itu mendakwa pengarah dan penulis filem itu telah memberikan naratif lain ianya berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low namun dokumentari itu dilihat menyentuh berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.
“Dokumentari itu juga seolah-olah telah memberi gambaran negatif dan teruk tentang keperibadian Najib sepanjang bergelar Perdana Menteri.
“Anak guam saya telah dikelirukan dengan mendakwa program Man On The Run ini adalah berkaitan dengan Jho Low dan langsung tidak berkaitan dengan Najib. Nampak sangat cakap lain dan buat lain. Tetapi apa yang Najib cakap dalam rancangan itu semuanya benar belaka.
“Saya sendiri tengok dan beri justifikasi apa yang dilakukan olehnya sangat betul dan benar tapi pengarah ini telah mengelirukan beliau dengan perjalanan program tersebut,” kata Muhammad Shafee. – MalaysiaGazette