Datuk Seri Azlan Man

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi  oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang sedang berdepan kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Azlan Man sedang berdepan lima pertuduhan antaranya tuntutan palsu  mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Ketika prosiding hari ini di hadapan di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai berkata representasi yang dihantar oleh Azlan supaya pertuduhan terhadapnya dikaji, ditolak oleh AGC.

Susulan daripada itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi memerintahkan perbicaraan dimulakan bermula 18 Julai ini.

Azura juga menetapkan 14 Jun bagi pengurusan kes yang sedang dihadapi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu.

Difahamkan representasi itu ditaklimatkan kepada Peguam Negara pada 20 November dan ditolak pada hari yang sama.

Sebelum ini Azlan Man telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sementara lima pertuduhan AMLA di ibu negara.

Azlan Man mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.

Tertuduh didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan berkenaan oleh beliau.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Azlan juga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta pada 12 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: