Anggota penguat kuasa JIM memeriksa warga asing yang mengemis di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, semalam. Foto JIM

KUALA LUMPUR – Seramai 10 orang pengemis warganegara asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di perkarangan Masjid Saidina Bakar, dekat Bangsar tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi ini seramai 13 orang telah diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut10 orang pengemis warganegara asing yang berumur di antara 2 hingga 41 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia serta seorang lelaki dan dua orang perempuan warganegara Myanmar.

Turut ditahan adalah dua orang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar.

Seorang warga asing membawa anak kecil sambil mengemis di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, semalam. Foto JIM

Bagaimanapun, tiga orang individu dilepaskan kerana merupakan warganegara tempatan.

Ruslin berkata, tindakan pemeriksaan ini diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan mengemis dalam kalangan warganegara asing yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Kesemua pengemis warganegara asing yang ditahan ini telah ditangkap kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette