Gambar FB Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri berangkat ke Brunei hari ini bagi menghadiri Istiadat Persandingan DiRaja anakanda Sultan Brunei di Bandar Seri Begawan esok.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah bersama Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menaiki pesawat khas dan delegasi selamat mendarat di Bandar Seri Begawan pada pukul 3.40 petang.

Seri Paduka Baginda berdua berkenan menghadiri Istiadat Persandingan Pengiran Muda Abdul Mateen Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin dan Dayang Anisha Rosnah Adam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan esok.

Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin DiRaja tersebut di Istana Nurul Iman pada Isnin malam.

Seri Paduka Baginda berdua akan berangkat pulang ke tanah air pada hari Selasa ini mengikut kenyataan Facebook Istana Negara.

Sementara itu, malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berangkat ke Brunei bagi menghadiri istiadat yang sama.

“Alhamdulillah, malam ini bersama Azizah berangkat ke Bandar Seri Begawan bagi memenuhi undangan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke Majlis Istiadat Bersanding pasangan Diraja, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung esok,” kata Anwar dalam hantaran di media sosialnya. – MalaysiaGazette