Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – MCA menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya menangguhkan cadangannya untuk menaikkan tarif air, sebaliknya memberi keutamaan kepada penggantian, menaiktaraf, dan penyelenggaraan paip air secara komprehensif di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Tan Gim Tuan berkata, walaupun SPAN mendakwa anggaran kenaikan tarif air secara purata hanya RM3 sahaja, namun mereka juga harus mengambil kira kesan berganda akibat kenaikan harga air.

Jika ditambah bersama dengan cukai-cukai baharu dan kenaikan kadar cukai yang dilaksanakan baru-baru ini, ia akan menyebabkan kenaikan inflasi dan menambahkan beban kewangan isi rumah yang sudahpun terbeban.

Justeru, peningkatan tarif air, walaupun dilihat kecil secara berasingan, bakal menjadikan kehidupan harian rakyat semakin susah.

Katanya, krisis gangguan bekalan air di Pulau Pinang adalah satu peringatan kepada kerajaan negeri Selangor untuk mengutamakan penggantian paip air yang usang, dan bukannya menaikkan tarif air, lebih-lebih lagi memandangkan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Seramai 590,000 penduduk Pulau Pinang dilaporkan terjejas akibat krisis air yang bermula pada 10 Januari lepas, menyerlahkan hakikat bahawa sistem paip air yang lama usianya ini bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna domestik, tetapi juga menjejaskan ekonomi negeri apabila perniagaan dan syarikat terpaksa ditutup atau beroperasi pada kapasiti yang minima.

Pada tahun 2022, jumlah air tidak terhasil (NRW), ataupun air yang tidak dapat disampaikan kepada pengguna disebabkan kebocoran air, paip pecah ataupun kecurian, adalah 5,389 juta liter sehari, atau 34.4 peratus daripada jumlah air yang dihasilkan.

Ini juga satu peningkatan sebanyak 9.71 peratus daripada tahun 2018.

Tambahan lagi, menurut data, jumlah kebocoran dan kerosakan paip air yang dilaporkan mengalami peningkatan ketara, dari 465,767 pada tahun 2018 kepada 525,567 jumlah kes pada tahun 2022.

“Kesemua ini menyerlahkan kelemahan dan ketidakcekapan sistem saliran air, dan akan menyebabkan masalah NRW bertambah teruk.

“Ini bakal menyebabkan kerugian besar kepada negara kita. Malah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan kerugian tahunan sebanyak RM2 bilion disebabkan NRW,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, MCA menggesa kerajaan pusat supaya mengakui masalah besar kepada ekonomi dan masyarakat yang disebabkan paip air yang usang di seluruh negara, dan seterusnya mengambil langkah praktikal untuk menanganinya, termasuk memperuntukkan dana yang secukupnya kepada semua kerajaan negeri untuk projek naik taraf infrastruktur air.

Walaupun pengurusan air masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun keupayaan kewangan kerajaan negeri biasanya terhad, sekaligus menghalang kerajaan negeri melaksanakan projek mega infrastruktur air untuk menyelesaikan masalah NRW secara berkesan.

Oleh itu, kerajaan pusat wajar menilai keperluan setiap negeri dan memperuntukkan dana yang secukupnya untuk membantu kerajaan negeri menggantikan dan memperbaiki paip air lama, bagi mengurangkan pembaziran dan mengurangkan kerugian yang disebabkan NRW. – MalaysiaGazette