KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpandangan akta penggal tetap Parlimen sebagai satu keperluan penting bagi memastikan penggal Parlimen kekal hingga habis tempoh sehingga 18 Disember 2027.
Bersih sebelum ini beberapa kali membuat gesaan yang sama bagi menstabilkan politik Malaysia.
“Namun, penggubalan akta tersebut perlu disusuli dengan penggubalan akta peruntukan pembangunan Kawasa yang saksama kepada Ahli Parlimen kerajaan dan Pembangkang.
“Ini bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.
“Bersih berpandangan akta penggal tetap Parlimen ini penting bagi memastikan kestabilan politik negara yang akan membantu melancarkan usaha reformasi demi kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih, hari ini.
Kenyataan itu berkata, akta tersebut tidak akan menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen sekiranya diminta oleh perdana menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan satu rang undang-undang (RUU) diwujudkan untuk menghalang cubaan menjatuhkan kerajaan dominan dan dipilih secara sah pada PRU.
Beliau merujuk cubaan menjatuhkan kerajaan, terbaharu iaitu “Langkah Dubai” yang dilaporkan media berlaku di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut berkata, undang-undang itu perlu untuk mengelak pertukaran kerajaan yang terlalu kerap sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
Dalam pada itu Bersih berkata, semua blok politik perlu bergerak ke hadapan untuk menambah baik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Bagi menjayakan saranan ini, Bersih menyarankan agar kesemua blok politik untuk bergerak ke hadapan bekerja untuk menambahbaik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan hentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara.
“Justeru, tiba masanya pihak kerajaan dan pembangkang untuk duduk semeja dan bersepakat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) Reformasi Politik demi kepentingan rakyat.
“MOU ini pernah dibuat pada era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri atas gesaan Bersih yang membolehkan wujudnya Undang-Undang Antilompat Parti,” tambahnya – MalaysiaGazette