KUALA LUMPUR – Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmd Zahid agar satu rang undang-undang (RUU) khususnya dibentang untuk menghalang sebuah organisasi atau parti dominan yang dibentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.
Jelas Presidennya, Datuk Ewon Benedick, cadangan itu jelas mampu memberikan kestabilan kepada kerajaan yang memerintah sekaligus menjamin kestabilan ekonomi di negara ini.
“Ianya membawa kepada kestabilan yang sudah tentu akan mencorakkan kemakmuran ekonomi dan lain hal yang sangat diperlukan oleh negara dalam kestabilan politik melalui penerapan undang-undang tersebut.
“UPKO pernah berbicara mengenai subjek ini pada forum sebelum ini dan dengan adanya cadangan ini kami ingin mendengar lebih lanjut dan terperinci sebelum saya selaku presiden parti membuat ulasan berkait dengan cadangan ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Protege@KUSKOP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Hadir sama adalah timbalannya, Datuk R Ramanan dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata demikian kepada media mengulas kenyataan Presiden UMNO itu yang menegaskan RUU berkenaan perlu diwujudkan bagi mengelakkan kesengsaraan rakyat berulang sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Ia merekodkan pertukaran sebanyak tiga Perdana Menteri dalam satu penggal selepas Langkah Sheraton.
Ewon dalam pada itu berkata UPKO berminat untuk mendengar perincian yang dicadangkan oleh Presiden UMNO itu.
“Saya sebagai Presien UPKO berminat untuk mendengar cadangan tersebut dengan perincian tersebut sebelum saya membuat ulasan.
“Saya amat yakin di beberapa negara telah ada perundangan di negara mereka bagi memastikan ada terma yang tetapkan selepas pilihan raya dan sesiapa sahaja kerajaan yang ditubuhkan haruslah mentadbir negara sehingga tempoh pilihan raya itu tamat,” katanya. – MalaysiaGazette