Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membidas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata cadangan Rang Undang-undang (RUU) membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dikekalkan sehingga satu penggal berakhir sebagai langkah terdesak.

Azalina berkata, cadangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu lebih kepada langkah untuk menghormati mandat yang telah diberikan rakyat.

“Usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Kerajaan Perpaduan bukan satu langkah terdesak, tetapi sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azalina merujuk kepada kenyataan Takiyuddin yang berkata cadangan Ahmad Zahid adalah langkah terdesak dan tidak masuk akal.

Takiyuddin berkata, pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi negara.

Dalam pada itu, Azalani berkata, perkara sama juga telah dilaksanakan oleh banyak negara yang mengamalkan parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya.

Jelas beliau, langkah itu difikirkan wajar demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.

“Pada tahun ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci (in-depth study) termasuk kajian impak (impact study) dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, di mana pendapatan kajian yang menyeluruh ini akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

“Selain itu, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dimana satu undang-undang perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dikekalkan sehingga satu penggal berakhir.

Ahmad Zahid berkata, undang-undang tersebut perlu diwujudkan bagi mengelakkan kesengsaraan rakyat berulang sebagaimana berlaku pada PRU-15, di mana terdapat tiga Perdana Menteri di dalam satu penggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast