Chow Kon Yew

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang bekerjasama dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk meneroka rancangan kitar semula air bagi kegunaan sektor industri negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memeterai persefahaman dengan IWK bagi kitar semula air IWK untuk kegunaan sektor industri dan kilang.

“Walaupun ini masih dalam perbincangan lanjut, yang penting adalah kita perlu ada pengguna (kilang-kilang) yang sanggup membeli air yang dikitar semula itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis pemberian biasiswa oleh Ancom Crop Care di sini hari ini.

Chow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Anthony Santiago supaya Pulau Pinang menggunakan air kitar semula untuk tangani masalah bekalan air.

Selain itu, Chow berkata kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana pihak supaya pengguna air di Pulau Pinang yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual, minggu lepas, diberi rebat.

“Saya tidak menerima sebarang permohonan rasmi…jadi kita tunggu dan lihat,” katanya.

Bagaimanapun, Chow mengakui gangguan bekalan air minggu lepas sememangnya membawa kerugian dari segi ekonomi, kepada para pengguna yang terjejas khususnya para pemain industri.

“Namun antara perkara positif yang boleh diambil daripada pengalaman gangguan bekalan air minggu lepas adalah semua pengguna khususnya pengguna air di Pulau Pinang akan lebih menghargai air sebagai aset yang paling berharga…tanpa air, semua tidak dapat bergerak,” katanya.

Minggu lepas, kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa semua pengguna air yang terjejas dengan gangguan air berjadual itu telah pulih sepenuhnya pada 6 pagi semalam (Ahad). – BERNAMA