Timbalan Pengerusi Gerakan Menuntut Malaysia Bersih (GMMB), Syarul Ema Rena menunjukkan surat aduan sebelum memasuki bangunan SPRM di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 15 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam skandal pembelian saham UEM-Renong pada tahun 1997 semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Gerakan Menuntut Malaysia Bersih (GMMB), Syarul Ema Rena atau dikenali sebagai Ratu Naga mendakwa kertas siasatan hanya dibuka pada 2001 namun ia mengenai kes berbeza.

Beliau turut mempersoalkan Suruhanjaya Sekuriti yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap suspek terlibat dalam transaksi pembelian saham antara Ogos hingga November 1997.

“Punca atau induk kes itu pada 1997 tetapi pada masa itu tiada kertas siasatan dibuka. Semua tahu UEM diarah mengambil alih beberapa peratus saham Renong namun kes itu sepi,” katanya ketika membuat aduan kepada SPRM di sini hari ini.

Tambah Ratu Naga, ia sesuatu yang janggal kerana jelas tiada sebarang deklarasi atau notis seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 69E Akta Syarikat.

“Suruhanjaya Sekuriti adalah di bawah kawalan Kementerian Kewangan dan menterinya ketika isu itu berlaku ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebab itu beliau perlu disiasat walaupun kini memegang jawatan Perdana Menteri. SPRM harus adil, siasat semua jangan pilih bulu,” ujarnya.

Beliau berkata, laporannya hari ini susulan beliau ada membaca keratan akhbar mengenai ulasan Tan Sri Halim Saad pada Ogos tahun lalu yang dilihat boleh mencemarkan nama baik dan integriti Anwar.

Terdahulu, ahli perniagaan itu mendakwa Anwar mencadangkannya membeli saham dalam Renong Bhd untuk membantu menyokong pasaran saham tempatan dan mengelakkan kerugian harga aset termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang ketika itu merupakan unit milik penuh UEM.

Ia kemudian menjadi titik pertikaian utama dalam urus niaga saham United Engineers Malaysia Berhad (UEM)-Renong Bhd apabila Halim mendakwa beliau telah mengalami kerugian besar.

Perkara itu dimaklumkan menerusi pernyataan tuntutan (SOC) Halim terhadap tuntutan terbarunya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast