tiket penerbangan MCA PRN
Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sewajarnya mempersoalkan ketaatan kaum Cina dan India kepada negara.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, Dr Mahathir juga tidak sepatutnya menggesa kaum bukan Melayu untuk mengasimilasikan diri dengan orang Melayu.

“Bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum adalah menjadi satu kebiasaan untuk bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan pada masa sama mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Malah sistem persekolahan pelbagai aliran yang wujud di negara kita adalah bukti keupayaan rakyat dalam pelbagai bahasa, dan keunikan inilah menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India masih tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dilaporkan berkata demikian dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.

Teik Cheng menambah, ia bukan kali pertama Dr Mahathir membuat kenyataan berbaur kontroversi yang menyentuh isu perkauman dengan tujuan mengalihkan perhatian daripada isu-isu berkaitan dirinya dan anaknya.

Beliau menambah, taktik Dr Mahathir itu boleh mengapi-apikan kebencian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum sehingga isu-isu penting diabaikan.

“Sebagai seorang pemimpin veteran negara, Dr Mahathir sepatutnya berrasa bangga terhadap keunikan kepelbagaian kaum di negara kita yang dapat hidup bersama-sama dengan aman dan harmoni.

“Kecewanya, beliau sering mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang mampu menjejaskan hubungan antara kaum,” jelasnya.

Teik Cheng berkata, Dr Mahathir sepatutnya mempromosikan kepelbagaian kaum dan budaya di negara ini sebagai satu aset di pentas global, khususnya dalam era ini di mana peperangan dan masalah etnik membelenggu dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast