Sukarelawan UPSI membersihkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa di Kota Tinggi, di sini.

JOHOR BAHRU – Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) meggerakkan ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi melaksanakan misi bantuan terhadap mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI yang juga Pengerusi MASKUM, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, misi itu dijalankan susulan peningkatan jumlah mangsa yang terjejas di kawasan tersebut.

Menurutnya, usaha itu diselaraskan bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Misi Bantuan Banjir MASKUM.

“Sumbangan kepada mangsa banjir di Kota Tinggi merangkumi makanan retort sebanyak 300 pek, bakul makanan dan keperluan asas sebanyak 300 pek,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumbangan ini diberikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, dan Universiti Awam seperti UPSI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Turut disumbangkan modul SPM EmpowerNCER Akademik sebanyak 20 set oleh UPSI bagi membantu pelajar SPM yg terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Misi bantuan banjir MASKUM itu disempurnakan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Khidmat Rakyat Kota Tinggi, Johor.

Katanya, inisiatif itu dapat membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga merupakan intelek manusiawi, penyelesai permasalahan dan inovator kreatif kepada isu-isu masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berharap misi kemanusiaan itu akan membawa nilai tambah penting kepada pelajar.

Beliau berkata, hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk yang memberi manfaat dan kebaikan.

“Supaya limpahan manfaat bukan sahaja dinikmati oleh warga IPT malah turut dinikmati oleh komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” ujarnya. – MalaysiaGazette