ALOR GAJAH – China menawarkan 1,000 biasiswa percuma kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian di negara itu di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada 200 pelajar yang sudah mendapat biasiswa Institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum ini.
Menurutnya, tawaran itu terbuka kepada semua pelajar sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau pun tidak, jika bersesuaian dengan kelayakan kursus diikuti antara tiga hingga 12 bulan.
“Saya cadangkan agar 1,000 tempat ini dibahagikan dalam kalangan institusi-institusi TVET yang ada dalam negara termasuklah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Antara kursus ditawarkan termasuklah dalam bidang berteknologi tinggi yang baharu seperti kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselor UTeM Durian Tunggal, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, bagi merealisasikan kerjasama dengan China itu, beliau mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menanggung kos tiket penerbangan pergi dan balik pelajar ke China kerana tidak termasuk dalam kos biasiswa itu.
“MARA juga akan biayai kos-kos lain termasuklah penginapan pelajar untuk mengikuti kursus bersesuaian yang akan kita koordinasikan dengan kerjasama MTUN.
“Setakat ini, (kerjasama) kita ada kurang daripada 100 institusi TVET di China namun akan dikembangkan lagi kerjasama ini dengan deligasi Malaysia di sana,” katanya. – MalaysiaGazette.