Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sejumlah 36,426 kompaun bernilai RM18,213,000 sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, purata setiap kompaun yang dikeluarkan adalah RM500 yang merupakan hasil dan tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam.

Menurutnya, sejumlah 4,264 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan pada masa sama sebanyak 911 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM2,349,950.

“Tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi telah mengutip sejumlah 2,470 tawaran kompaun bernilai RM1,235,000 dengan purata RM500 setiap kompaun.

“Sejumlah 426 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 48 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM188,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Radzi berkata, melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 14,122 premis yang dilawati, sejumlah 4,423 notis kesalahan dikeluarkan.

Ujarnya, sebanyak 4,860 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,198,100 manakala, bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu, daripada 246,982 premis yang dilawati, sejumlah 112,455 notis kesalahan dikeluarkan.

Jelas beliau, sebanyak 63,039 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM16,388,150.

“Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 2,837 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 79 premis iaitu 2.78 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.

“Manakala, bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sebanyak 104,925 premis makanan telah diperiksa.

“Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 2,242 premis iaitu 2.14 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa,” tambahnya.

Tegasnya, tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast