Na'im menunjukkan replika kutipan zakat zakat melebihi RM1 bilion pada Sidang Media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2023, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asasi kepada golongan asnaf daripada RM150 kepada RM300 sebulan bermula tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, bantuan kewangan dalam bentuk dompet elektronik (e-wallet) itu akan memanfaatkan lebih 30,000 asnaf di Wilayah Persekutuan.

Katanya, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM108 juta setahun bagi kenaikan kadar bantuan baharu itu dan ia akan mula disalurkan kepada penerima mulai bulan ini.

“Bantuan barangan keperluan asasi itu akan disalurkan menerusi e-wallet kepada ketua keluarga dan ia merupakan bantuan tambahan wang tunai yang diterima mereka setiap bulan.

“Setiap bulan, setiap asnaf di bawah tanggungan MAIWP menerima bantuan kewangan antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada seidang media prestasi dan kutipan zakat PPZ-MAIWP 2023, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenaikan kadar bantuan baharu itu membolehkan setiap asnaf memperoleh sekurang-kurangnya RM1,300 sebulan sekali gus melepasi paras kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pada sidang media sama berkata, kenaikan kadar baharu itu dibuat seiring situasi ekonomi semasa susulan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, katanya, bagi meringankan beban asnaf di Wilayah Persekutuan, MAIWP memperuntukan sebanyak RM41.4 juta dana zakat bagi Insentif Khas Kepada Golongan Asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan Tahun 2023.

“MAIWP turut mengambil langkah dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membuka Pusat Fisioterapi MAIWP di Masjid Abu Ubaidah Al- Jarrah, Kuala Lumpur.

“Pusat Fisioterapi MAIWP itu khusus untuk 400 orang asnaf dan B40 menerima rawatan fisioterapi secara percuma untuk 10 kali sesi rawatan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM620,000,” katanya. – MalaysiaGazette