Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat komestik yang juga artis wanita kerugian RM29,313.20 apabila wang simpanannya berkurangan tanpa disedari.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa, 40, membuat pendedahan itu menerusi media sosialnya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa telah membuat semakan penyata akaun peribadi pada 13 Januari lalu dan mendapati terdapat 11 transaksi telah berlaku dari 8 Januari 2024 sehingga 12 Januari 2024 tanpa pengetahuan mangsa berjumlah RM29,313.20.

“Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis menafi dan menyatakan tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga atau menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (one-time password) bagi kesemua transaksi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa) bagi tindakan siasatan selanjutnya.

Amihizam juga menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.

“Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, boleh disalurkan kepada hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya.

Terdahulu, pelakon Dynas Mokhtar mendedahkan kehilangan hampir semua wang simpanan dan hanya menyedarinya ketika membuat pemindahan wang untuk membayar gaji pembantu peribadi.

Pendedahan itu dibuat pelakon berusia 40 tahun itu menerusi hantaran video dimuat naik dalam Instagram hari ini.

Bagaimanapun, Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar tidak dapat mendedahkan institusi kewangan kerana kes masih dalam siasatan.

Dynas yang menggeletar ketika berikan kenyataan dalam media sosial mohon doa orang ramai agar wangnya dikembalikan.

Malah, Dynas turut menasihati orang ramai lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak menimpa mereka. – MalaysiaGazette