KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Selangor (KAUNSEL) berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan dalam isu pemecatan Presidennya, Mohd Azrin Abd Rahim daripada jawatan pensyarah di universiti berkenaan.
Menurut KAUNSEL, ia adalah rentetan gesaan yang dibuat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam sidang media di Subang Jaya, Jumaat lalu.
KAUNSEL percaya campur tangan Amirudin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Unisel Sdn. Bhd. mampu menyelesaikan isu tersebut secara harmoni secepat mungkin.
“Presiden KAUNSEL yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, telah berkhidmat selama lebih 16 tahun di Unisel seharusnya diberikan pembelaan dan keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam sidang media itu, Mohd Azrin menjelaskan, beliau telah digantung tugas sebelum dipecat pada 5 Januari lalu.
Beliau memberitahu, sebelum itu, KAUNSEL yang didaftarkan secarta rasmi pada 6 Mac tahun lalu sering menyuarakan isu-isu berkaitan kebajikan dan hak pensyarah di Unisel.
Mohd Azrin juga telah mengemukan aduan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan dan sekiranya usaha itu tidak berhasil, beliau mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Unisel.
KAUNSEL yakin segala isu tersebut dapat diselesaikan secara baik menerusi rundingan dengan majikan namun beberapa cubaan untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dipandang sepi.
Katanya, KAUNSEL kini tiada pilihan melainkan terpaksa membawa isu itu ke peringkat yang lebih tinggi agar kecemerlangan Unisel dapat dikembalikan semula.
“KAUNSEL khuatir jika tiada tindakan proaktif dibuat dalam usaha memperjuangkan hak dan kebajikan pensyarah, maka semakin ramailah tenaga pengajar yang berpengalaman akan meninggalkan Unisel.
“Ini telah terbukti apabila lebih 200 staf telah meletakkan jawatan dan berhijrah ke institusi lain sejak 2020,” jelasnya.
KAUNSEL menyifatkan situasi itu sebagai kerugian dan kehilangan yang amat besar memandangkan mereka adalah staf yang berpengalaman dan banyak menyumbang kepada kecemerlangan Unisel selama ini.
“Ditambah pula dengan bilangan pelajar yang semakin menguncup saban tahun, KAUNSEL berharap agar Menteri Besar Selangor dapat membuat penilaian sewajarnya terhadap prestasi Presiden dan Naib Canselor Unisel sekarang ini,” katanya. – MalaysiaGazette