KUALA LUMPUR – Seramai 27 lelaki Bangladesh ditahan kerana disyaki menggunakan pasport palsu ketika cuba mendaftar bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 di sini, semalam.
Malah, seorang wanita tempatan yang mengiringi warga Bangladesh itu turut ditahan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta.
Warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki telah melakukan pindaan maklumat pada pasport. Hasil pemeriksaan menggunakan Sistem Jabatan MyIMMS oleh pegawai verifikasi yang bertugas mendapati terdapat pindaan pada butiran nombor pasport lama dan butiran diri dalam pasport pada muka surat biodata kesemua warganegara Bangladesh tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, wanita itu yang merupakan wakil majikan sebuah syarikat tempatan ditahan pukul 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan menggunakan Sistem Jabatan MyIMMS oleh pegawai verifikasi yang bertugas mendapati terdapat pindaan pada butiran nombor pasport lama dan butiran diri dalam pasport pada muka surat biodata kesemua warganegara Bangladesh tersebut.
“Wanita warga tempatan yang berusia 39 tahun telah ditahan dan ditangkap kerana atas kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ruslin berkata, kesemua warganegara Bangladesh lingkungan usia 24 hingga 46 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l), akta yang sama iaitu menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.
Katanya, kesemua yang ditahan kemudiannya telah dibawa ke Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.
Tambahnya, wanita warga tempatan terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(a), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.
Manakala, 27 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan serta tindakan lanjut, ujarnya.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan yang telah mendaftar PATI untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0 JIM Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.
Ini membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir, selain mengelakkan kesesakan.
Jelas beliau, selari dengan dasar keselamatan tanpa kompromi, pihaknya menegaskan bahawa semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan negara ini sebagai tempat yang tidak kondusif kepada PATI dan majikan yang menggaji atau melindungi golongan tersebut.
Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cuba melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan atau perundangan lain.
“Sebarang aduan berkenaan PATI di sekitar ibu kota, orang ramai diseru untuk melaporkan ke Unit Aduan, Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur atau hadir terus ke pejabat.
“Mereka juga boleh menghantar e-mel ke [email protected] atau membuat panggilan telefon ke talian 03-6205 7515,” tambahnya. – MalaysiaGazette