Bot nelayan tempatan kelas C yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, di sekitar perairan Kuala Kedah, di sini, kelmarin.

KUALA LUMPUFR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan 2.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, di sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penahanan bot  tempatan kelas C itu dilakukan semasa rondaan khas Op Merdof pada jam 6.25 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan yang dalam perjalanan menuju ke laut itu memiliki alat komunikasi jenis radio frekuensi sangat tinggi (VHF) yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Bot itu ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan tanpa memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Noor Azreyanti, bot terbabit juga melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan.

Katanya, bot bersama seorang tekong dan tiga kru warga Thailand itu ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast