Tertuduh berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas 12 pertuduhan termasuk rogol, amang seksual dan melakukan seks dengan objek terhadap dua anak tirinya sejak Mac tahun lalu.

MELAKA – Seorang juruteknik swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas 12 pertuduhan termasuk rogol, amang seksual dan melakukan seks dengan objek terhadap dua anak tirinya sejak Mac tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua  pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Merlimau Emas Seksyen 2, Merlimau dalam daerah Jasin antara antara Mac 2023 hingga Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Lelaki itu turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 377 CA kerana melakukan amang seksual menggunakan objek terhadap mangsa yang berusia 11 tahun antara Mac 2023 hingga Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Tertuduh juga berdepan tiga lagi pertuduhan merogol terhadap mangsa berusia 11 tahun pada Mei 2023 dan Januari lalu yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan selain turut memohon syarat tambahan.

Peguam, Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruteknik swasta selain perlu menanggung ibu berusia 72 tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis sekali pada setiap bulan.

Tertuduh dan pihak lain juga dilarang menghubungi dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette