KUANTAN – Pelarasan tarif air yang dijangka bermula Februari ini akan menyaksikan tarif air naik sebanyak 41 sen di Pahang menjadi 78 sen semeter padu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelarasan air itu wajar ekoran negeri itu telah mengekalkan tarif air 37 sen selama 40 tahun.
Justeru kenaikan tarif baharu 37 kepada 78 sen bukan satu isu kerana ia melibatkan seluruh negara dan dipersetujui oleh kerajaan negeri.
Ia selaras dengan pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diumumkan.
“Pahang sudah 40 tahun tidak berlaku kenaikan tarif air, jadi kali ini tarif baharu itu akan dilaksanakan mulai Februari ini.
“Kadar harga air di Pahang kekal 37 sen sejak 40 tahun lalu dan melalui pelaksanaan kadar baharu ini harga air dijangka dinaikkan kepada 78 sen,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika sidang media sejurus Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.
Tambah beliau, melalui tarif baharu itu dijangka akan memberi hasil kira-kira RM80 juta setahun kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette