Loji Rawatan Air Langat 2
Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat, Selangor. - Gambar: Facebook SPAN

KUALA LUMPUR – Dua projek besar yang dimulakan ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dahulu telah menyesaikan masalah kekurangan air yang kerap berlaku di Lembah Klang pada musim kemarau.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, projek Terowong Air Mentah Pahang-Selangor dan Loji Rawatan Air Langat 2 merupakan antara jasa besar Najib kepada berjuta penduduk Lembah Klang namun ramai yang tidak menyedari atau melupakannya.

Menurut beliau, masalah itu kerap berlaku di Lembah Klang pada 2010-an sehingga menyebabkan bekalan air terpaksa dicatu.

“Pada masa itu, Najib mulakan dua projek besar untuk selesaikan masalah ini buat jangka masa panjang tetapi ia ditentang hebat oleh kerajaan negeri Selangor atas alasan ia tidak diperlukan, terlalu mahal dan hanya alasan untuk songlap.

“Tapi Najib tak hirau. Kerajaan Persekutuan di bawah Najib pun teruskan dua projek besar ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Loji Rawatan Air Langat 2 yang dibina dengan perbelanjaan RM8 bilion merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan mampu membekalkan sebanyak 1.13 bilion liter air terawat setiap hari.

Sian See menambah, kedua-dua projek tersebut siap sepenuhnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan sehingga kini, masalah kekurangan dan catuan air di Lembah Klang tidak lagi berlaku.

Beliau memberitahu, pihak yang pernah menentang projek-projek tersebut termasuk pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) kini senyap dan bersyukur kerana tidak lagi berdepan masalah kekurangan air.

Sian See berkata, bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berjasa dalam hal itu setelah beliau bersetuju dengan hasrat Najib untuk meneruskan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut.

“Penerimaan ini digunakan sebagai antara alasan utama untuk singkirkan beliau sebagai Menteri Besar ketika itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast